SETIAP CERITA... TERCIPTA DAN TERSIMPAN MEMORI

Sunday, November 29, 2009

Ketenangan

Kedamaian dan ketenangan kurasai
Pabila kaki melangkah ke Gunung Ledang ini
Redup mata memandang
Melihat kehijauan alam semula jadi
Terdetik di hatiku memuji
Kebesaran dan keagungan Ilahi...
Mencipta keindahan alam ini
Untuk manusia menikmati...
Suara keriangan dan keriuhan
Memecahkan suasana kemeriahan
Air yang mengalir tenang
Melenyapkan keresahan di jiwa
Hilang segala kemelut di hati
Hilang segala kekusutan di minda
Begitu nyaman dan mengasyikkan...
Tersingkap lipatan kenangan
Di sebalik suasana gurauan
Tersenyum kumemandang
Hatiku begitu tenang...ALLAHUAKHBAR

Hasil nukilan: Nurbisa

Tinta Nurbisa : Kutitip puisi ini ketika berada di Gunung Ledang bersama Kak Timah, AL dan Usyen pada 28.11.2009

Monday, November 23, 2009

Pertemuan Yang Tidak Disangka ...

18 November 2009

Siapa sangka...aku dapat bertemu dengan anak didikku pada Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik 2009 ini. Julia Binti Mat Dan. Pertama kali aku menjejakkan kaki ke SK Canossian Convent pada tahun 1998, aku diarah mengajar Bahasa Melayu Tahun Tiga. Kelas Julia. Seterusnya, pada tahun 2000 dan 2001, aku diberi tanggungjawab mengurus pasukan bola jaring sekolah yang disertai oleh Julia. Pasukan bola jaring yang telah menaikkan nama SK Convent kerana ahli-ahlinya terpilih ke peringkat daerah dan negeri.
Tapi lihatlah...anak murid lebih tinggi daripada gurunya... Julia pun sudah 20 tahun... Kini, aku juga mengajar anak saudaranya yang berada di Tahun Satu.


Buat Julia...Cikgu mengucapkan terima kasih kerana masih mengingati diri ini. Cikgu doakan Julia berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Teringat kembali semasa melatih pasukan bola jaring. Bukan senang mengurusnya dan membentuk strategi permainan...yang penting kerjasama dalam pasukan...



Gambar ini kuambil daripada Facebook seorang rakan yang belum aku kenali. Aku buka laman Facebook kawanku kerana aku ingin mengenali seseorang yang selalu berhubung dengannya....Tetapi, tidak disangka...aku terpandang nama seorang kawan lama yang cukup aku kenali. Hatiku terlonjak kegembiraan. Sudah lama kami tidak berhubung. Roslizam Razali atau Jang bukan sahaja seorang kawan tetapi seorang adik yang sentiasa bersama dalam suka dan duka. Inilah pertama kali aku melihat keluarganya. Aku pernah melihat anak kembarnya semasa dia dan Badrul bercuti di kampung, Kelantan. Waktu itu, anak kembarnya yang sulung berusia setahun. Selepas itu, aku tidak berjumpa dengan mereka lagi setelah mereka kembali ke Sabah. Mereka kulihat sungguh bahagia.


Buat Jang ... Akak teringin bersua denganmu. Kenangan bersama kalian tetap diabadikan dalam hidup akak. Terima kasih buat Jang dan Badrul...



Sunday, November 22, 2009

Kesedihan Di Hati...

Hatiku masih diselubungi kesedihan. Setiap saat,air mataku kan mengalir tanpa dipaksa.Hilang seleraku. Dari semalam, hanya air yang dapat mengalir ke kerongkongku.Tapi hari ini,sedikit roti menjadi alas perutku. Aku tidak tahu mengapa hati ini begitu pilu. Lebih-lebih lagi mengenangkan nasib yang dialami oleh dia. Hatiku sebak setiap kali memandangnya. Redup matanya membuat hatiku bertambah sayu. Aku berasa terkilan kerana tidak dapat bersamanya. Aku menangis...dan menangis. Aku menangis bukan kerana merajuk atau marah atau berkecil hati...Aku tidak dapat melafazkan kata maaf ketika dia menghubungi kerana menahan sebak dan tangisku...Air mataku mengalir ketika berbalas mesej...